Bagaimana terbentuknya sebiji mutiara : Khutbah khas buat muslimah
Muhammad Alshareef
Apabila berita kedatangan tentera Kristian yang sedang bersedia untuk menghapuskan orang Islam di sempadan, sampai ke pengetahuan Abu Qudaamah Ash-Shaamee, dia terus bergegas ke mimbar masjid. Dalam ucapan yang menyemarakkan semangat, Abu Qudaamah berjaya menyalakan semangat masyarakat Islam untuk mempertahankan tanah mereka, iaitu Jihad kerana Allah. Sewaktu dalam perjalanan pulang dari masjid, melewati lorong yang gelap dan terpencil, seorang wanita memberhentikannya lalu berkata, “As salamu alaykum wa Rahmatullah!”. Abu Qudaamah menghentikan langkahnya namun dia tidak memberikan apa-apa jawapan . Wanita tersebut mengulangi salamnya dan menambah, “Bukanlah ini pekerti seorang yang alim”. Dia maju ke hadapan sambil berkata, “Aku mendengar seruanmu di Masjid menggalakkan orang-orang beriman untuk mara berjihad dan apa yang ada padaku hanyalah ini….” Wanita tersebut menyerahkan dua utas tali kepadanya. “ Ia boleh digunakan sebagai tali untuk mengawal kuda. Semoga Allaah, ‘azza wa jall, menuliskan aku sebagai salah seorang yang mengikuti Jihad–Nya.”
Keesokan harinya tika penduduk kampung keluar untuk bersemuka dengan tentera musuh, datang seorang budak lelaki berlari menembusi perhimpunan tersebut dan berdiri di sebelah kuda Abu Qudaamah sambil berkata,“Demi Allaah, aku meminta izinmu untuk menyertai tentera ini.”Beberapa pejuang veteran mentertawakan budak tersebut. “Kuda-kuda ini akan memijak engkau,”mereka berkata. Tetapi Abu Qudaamah merenung jauh ke dalam mata budak tersebut bilamana dia mengulangi permintaanya, “Demi Allaah, izinku menyertainya.” Abu Qudaamah kemudian bersuara, “Hanya dengan satu syarat, seandainya engkau syahid, engkau akan membawaku ke syurga bersama-sama mereka yang engkau akan meminta shafa’at untuknya”. Budak tersebut tersenyum. “ Ianya adalah janji.”
Semasa kedua-dua pihak bertarung berhabis-habisan, budak tersebut yang duduk di belakang kuda Abu Qudaamah meminta, “Demi Allaah, berikan aku tiga bilah anak panah”. “Engkau akan mensia- siakannya!”balas Abu Qudaamah. Budak tersebut mengulangi permintaannya, “Demi Allaah, berikanku anak panah tersebut.” Lantas Abu Qudaamah memberikannya anak panah dan budak tersebut menumpukan tepat ke arah sasaran. “Bismillah!” Anak panahnya yang pertama tepat menembusi seorang pejuang Kristian. “Bismillah!” Anak panahnya yang kedua juga tepat menembusi pejuang Kristian yang kedua. “Bismillah!” Anak panahnya yang terakhir juga tepat menembusi pejuang Kristian yang seterusnya. Tiba-tiba, satu anak panah datang menembusi dada budak tersebut dan dia rebah dari kudanya. Abu Qudaamah segera turun ke sisinya, mengingatkan budak tersebut dalam nafas terakhirnya,“Jangan engkau lupa akan janjimu!” Budak tersebut menyeluk sakunya, mengeluarkan satu uncang dan berkata,“Tolong kembalikan ini pada ibuku.”“Siapa ibumu?” soal Abu Qudaamah. “Wanita yang menyerahkan dua utas tali kepadamu semalam.”
Renungkanlah kisah Muslimah ini. Bagaimana dia bisa mencapai tingkatan Taqwa ini di mana dia sanggup mengorbankan warisnya sementara para wanita zaman ini sanggup menggadaikan nyawa mereka asalkan anak mereka selamat di rumah. Sesungguhnya, wanita ini mengisi hidupnya dalam pengabdian kepada Allaah dan bilamana saat ujian tiba, dia berjaya melepasinya.Bukan sahaja dirinya sendiri lulus, malah anak lelakinya turut bersinar dengan keindahan Imaan yang sama, anak asuhannya sendiri.
Seringkali- mungkin dewasa ini bilamana kita jauh dari Sunnaah - segala syarahan, khutbah dan ceramah adalah ditujukan untuk Muslimin sahaja. Kita terlupa bahawa daripada Hady – panduan dan manhaj- Rasool Allaah, sal Allaahu ‘alayhi wa sallaam, adalah baginda akan memperuntukkan satu hari khas dalam seminggu untuk mengajar para wanita. Mereka akan mendatangi baginda sama ada semasa Hajj, di jalan-jalan malahah juga di rumah baginda sendiri untuk bertanyakan baginda soalan-soalan berkenaan Deen. Di waktu menunaikan solat Eid, setelah memperingati para pemuda, baginda akan ditemani Bilal ke bahagian wanita untuk memberikan peringatan. Allaah, subhaanahu wa ta’alaa, juga mewahyukan satu surah lengkap dengan nama Surah An-Nisaa’— para wanita, Surah Maryam dan juga Al-Mujaadalah - wanita yang meminta. Sebagai langkah menghidupkan Sunnaah ini, ucapan ini ditujukan khas buat semua wanita beriman, al-Mu’minaat.
Duhai saudari, duhai ibu, duhai anak perempuan. Setiap orang mengidamkan kebahagian dan keseronokan, dan saya pasti bahawa kamu juga tidak berkecuali. Namun, di manakah kebahagiaan dan keseronokkan ini? Serta di mana dan bila kamu inginkan kebahagiaan tersebut? Adakah kamu inginkan kebahagiaan, adakah kamu ingin menikmati keseronokan di dunia ini sebagai gadaian kebahagiaan di akhirat? Atau adakah di akhirat kelak, kamu inginkan kebahagiaan tika kamu menemui Allaah?
Ke mana sahaja kamu pergi, kamu akan melewati sekumpulan manusia, media dan budaya yang bersumpah kepada kamu bahawa sesungguhnya kebahagiaan bermaksud kebahagiaan di dunia. Adakah ini sebenarnya kebahagiaan? Di hari Pembalasan, Allaah akan mengambil seorang kafir yang paling ‘bahagia’ di dunia dan menghumbannya ke dalam Jahannam - api neraka. Kemudian, Allaah akan menyoalnya “Pernahkah kamu merasai sebarang kebahagiaan?” Si kafir tersebut akan menjawab “Tidak!”.
Sesungguhnya, kebahagiaan sebenar adalah kebahagiaan di akhirat, tanpa mengira apa yang berlaku di dunia ini. Allaah akan membawa di hari Pembalasan nanti, seorang yang paling banyak diuji dan menempatkannya di dalam Jannah- syurga. Kemudian, Allah akan menyoalnya “Pernahkah kamu merasai sebarang kesedihan? Dia akan menjawab “Tidak!”
Janganlah menyangka bahawa kebahagiaan dan keseronokkan ini semata-mata untuk kehidupan di akhirat. Ia juga adalah berkait rapat dengan kehidupan di dunia ini. Dengar dan fahamilah kata-kata Allaah:
“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan di dalan keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik( di dunia ini dalam kehormatan, kepuasan dan rezeki yang halal) dan akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan (iaitu syurga di Hari Akhirat).”Surah AnNahl (16:97)
Saudari sekalian, kamu perlu memahami bahawa kamu atau sesiapa sahaja bisa dimasukkan ke dalam neraka. Demi Allaah, sesungguhnya tidaklah kita setanding dengan puteri Rasool Allaah, sal Allaahu ‘alayhi wa sallaam, Fatimah. Baginda menyatakan kepada anaknya,“Wahai Fatimah, anak kepada Muhammad, mintalah apa sahaja yang engkau inginkan dari kekayaanku, kerana aku tidak berupaya membantumu apa-apa di sisi Allaah.” Maksudnya adalah “tiada bererti pertalian darahmu denganku, seadainya engkau tidak bekerja untuk Jannah, pernyataan bahawa ayahku adalah sekian dan sekian tidak berupaya membantu engkau sama sekali.”
Islam melahirkan ramai muslimat yang telah menyempurnakan Taqwa mereka kepada Allaah ‘azza wa jall. Bilamana gadis-gadis lain menggantungkan poster penyanyi kafir dan atlit kafir dan pelakon kafir, gantungkanlah di hati kamu poster Fatimah dan Mu’minaah ulung yang lain.
Aasiyah, isteri Fir’awn, imannya di sisi Allaah subur di sebalik bayang seorang yang berkata “Akulah Tuhan kamu, yang Maha Tinggi!” Apabila kabar tentang keislaman Aasiyah sampai ke pengetahuan Fir’awn, dia memukul Aasiyah di samping menyuruh pengawalnya menyiksa Aasiyah. Mereka mengheretnya di bawah terik matahari, mengikat tangan dan kakinya, dan memukulnya berulang-ulang kali. Kepada siapakah Aasiyah mengembalikan dirinya? Dia kembali kepada Allaah! Dia berdu’aa, “Yaa Tuhanku, binakanlah untukku sebuah rumah bersama-samaMu di syurga dan selamatkanlahku daripada Fir’awn dan amalannya, dan selamatkanlahku daripada golongan yang zalim.”
Adalah diceritakan bahawa ketika Aasiyah berkata sedemikian, langit dibukakan untuknya dan dia melihat rumahnya di Jannah. Dia tersenyum. Pengawal yang melihat keadaannya terkejut – dia diseksa, dan masih bisa tersenyum? Dalam kekecewaan, Fir’awn mengarahkan untuk dibawakan batu yang besar dan dihempaskan ke atas Aasiyah, agar dia mati dihempapnya. Namun, Allaah mengambil nyawanya sebelum batu tersebut dibawakan, dan sesungguhnya dia terukir sebagai contoh kepada semua orang beriman, lelaki dan perempuan, sehingga akhir zaman:
Dan Allah telah membuat isteri Fir’awn sebagai perumpamaan kepada orang-orang yang beriman ketika dia berkata, “Yaa Tuhanku, binakanlah untukku sebuah rumah bersama-samaMu di syurga dan selamatkanlahku daripada Fir’awn dan amalannya, dan selamatkanlahku daripada golongan yang zalim.”Surah at-Tahreem (66:11)
Bilamana kita berbicara soal Jihad dan para shuhadaa’—mereka yang mati shaheed, tahukah kamu akan Muslim pertama yang dibunuh di jalan Allaah? Dialah Sumayyah, ibu kepada ‘Ammar. Apabila berita pengislaman keluarga Yasir sampai ke pengetahuan Abu Jahal, dia memukul dan menyeksa mereka sekeluarga, dengan penuh kejam hinggakan bilamana Rasool Allaah, sal Allaahu ‘alayhi wa sallaam, melewati mereka saat keimanan mereka diuji sedemikian rupa, baginda hanya mampu berkata, “Bersabarlah, syurga menantimu!”
Abu Jahal menyeksa Sumayyah pada suatu hari sedang dia nekad untuk tetap bersama Deennya, dan sikap Sumayyah ini menaikkan darah Abu Jahal. Dia mengambil sebilah lembing dan menyula Sumayyah sedang Sumayyah terlantar di atas pasir yang panas sambil menghalakan pandangannya ke langit. Dialah orang yang pertama daripada keluarganya dan seluruh ummah, yang menemui Allaah sebagai shaheedah.
Saudari sekalian, suri teladan kita datangnya daripada Al-Quraan. Kamu mungkin pernah mendengar kisah seorang budak dan raja. Bilamana seluruh kampung tersebut memeluk agama Islaam kesan daripada kematian budak kecil tersebut, si raja mengarahkan agar dinyalakan api yang marak, dan barangsiapa yang berkeras daripada meninggalkan agamanya, akan dibakar hidup-hidup. Seorang muslimah berdiri di sisi api tersebut bersama-sama dengan bayinya. Dia merenung tajam anaknya, dan melihat anaknya yang kecil dan suci, dia berkira untuk beralih arah. Tiba-tiba, bayinya berkata kepadanya,“Apa yang membuatmu tertunggu wahai ibuku? Maralah sesungguhnya engkau berada di jalan yang benar!” Si ibu mengangguk akur. Kemudian, dengan bayi di tangannya, dia mara kepada ajalnya.
“Dan mereka tidak menyeksa orang-orang mukmin itu melainkan kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. KepadaNya kerajaan langit dan bumi, dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu. Surah Al-Burooj (85:8-9)
Duhai saudari, suri teladan buat kamu datang kepada kamu dari hari ini. Sepertimana yang diceritakan oleh anaknya, seorang wanita di sebuah perkampungan Muslim percaya bahawa segala perkara sia-sia yang berlaku dalam perhimpunan para wanita adalah sesuatu yang dia tidak sukai. Dia mengisi masanya dengan mendirikan solat dan berjaga malam untuk qiyaam al-layl, dan ketika usianya semakin meningkat dia memanggil anaknya, suatu hari, daripada bilik solatnya. Kata anaknya, “ Saya memasuki bilik dan ibuku sedang bersujud dan mengatakan bahawa dia telah lumpuh.” Anaknya membawa ibunya kepada doktor dan dia memulakan kitaran pemulihannya walaupun peluangnya untuk sembuh adalah tipis.Dia kemudian meminta anaknya membawanya pulang ke rumah, membawanya semula ke bilik solatnya, membawanya semula ke sujudnya. Sedang wanita tersebut berdu’aa kepada Allaah dalam sujudnya, dia memanggil anaknya pada waktu malam. “Astawdi’ukallaah alladhee laa yadee’u wa daa’i’uh – Kuserahkan kamu di bawah penjagaan Allaah, dan sesungguhnya apa sahaja yang berada di bawah penjagaan Allaah tidak akan sia-sia.” Wanita tersebut meninggal dunia dalam sujudnya. Badannya telah kaku dalam keadaan sujud dan jenazahnya dimandikan dalam keadaannya sujud. Solat jenazah ditunaikan ke atasnya dalam keadaannya sujud. Mereka membawa jenazahnya ke kubur dalam keadaannya sujud. Oleh itu, mereka mengebumikannya dalam keadaannya sujud. Sabda Rasool Allaah, sal Allaahu ‘alayhi wa sallaam, “kita akan di bangkitkan sepertimana keadaannya ketika kita mati.” Sesungguhnya, wanita tersebut akan dibangkitkan di Hari Penghakiman dalam sujud kepada Allaah- Jalla Jalaaluhu wa taqaddasat asmaa’uhu – kerana demikianlah bagaimana dia hidup dan mati.
Bahagian II
Terdapat banyak kisah lain yang kita tahu berkisar tentang keimanan seorang ibu, seorang isteri, serta seorang wanita, dan banyak lagi kisah yang hanya Allaah mengetahui bilangannya. Bilamana halaqah dikendalikan, hadirin wanita melebihi lelaki. Di University Terbuka Amerika, majoriti penuntut adalah di kalangan wanita.Hadirilah perhimpunan guru-guru Islaam/sekolah Islaam atau ceramah dan kamu dapat melihat ketidakseimbangan antara hadirin wanita dan lelaki.Kadangkala, adalah amat menyedihkan apabila melihat lelaki kekurangan motivasi sepertimana yang ditonjolkan oleh wanita. Namun begitu, jika terdapat satu petanda yang cantik dalam semua ini – in shaa’ Allaahu ta’aala -- wanita-wanita inilah yang akan melahirkan sepasukan lelaki dan wanita berimaan dalam generasi akan datang. Wa Allaahu akbar!
Sewaktu Imam Ahmad masih kecil, bapanya meninggal dunia. Beliau sering menceritakan kepada anak muridnya tentang perit jerih yang dilalui ibunya dalam membesarkannya, dan dia akan berdu’aa untuknya. Dalam kedinginan malam di Baghdad, ibunya akan bangkit jauh lebih awal darinya untuk menjerang air agar anaknya, Ahmad bisa berwudhoo’ untuk Fajr. Kemudian dia akan membaluti anaknya dengan selimut, dirinya mengenakan Jilbab, dan memimpin Ahmad menerusi lorong yang gelap lagi dingin untuk tiba ke Masjid utama, seawalnya sebelum fajr semata-mata agar anaknya beroleh tempat duduk terbaik di dalam kelas.Anaknya Ahmad – pada waktu itu berada dalam darjah 2 atau 3- akan duduk sepanjang hari mentela’ah al-Quran dan Sunnah dan ibunya akan menantinya sehingga dia selesai agar dia dapat membawa Ahmad pulang ke rumah dengan selamat. Tika umur Ahmad mencecah 16 tahun, ibunya menyediakan sedikit wang dan makanan untuknya sambil berpesan, “Mengembaralah untuk mencari ilmu.” Imam Ahmad bertolak ke Mekkah dan Madinah dan tempat yang lain, dan bertemu dengan ramai ulamaak muktabar. Sesungguhnya, ibunya mendidik Ahmad menjadi salah seorang daripada empat Imaam yang terkemuka dalam Islaam.
Saudari sekalian, selepas semua ini, tanyalah seorang yang bukan Islam tentang apa dia mahukan daripada kamu? Adakah dia mahu kamu dibebaskan? Dibebaskan daripada apa? Daripada Allaah dan RasoolNya? Daripada Quran dan Sunnah? Daripada Jannah? Daripada Deen ini yang Allaah pilih buat kamu?
Dan apakah yang dia janjikan kepada kamu sebagai ganti? Kebahagiaan? Demi Allaah, tidaklah dia memilik apa-apa kebahagian untuk diberikan kepada kamu. Adakah dia berupaya memberikan kamu kasih sayang dan perlindungan daripada azab kubur, daripada malaikat yang menjaga neraka ataupun daripada maut? Mengapakah mereka mahu membebaskan wanita-wanita yang muda perawan? Mengapakah mereka tidak membebaskan golongan tua? Mengapa tidak mereka membebaskan golongan asli? Mengapa tidak mereka membebaskan banduan? Mengapa target mereka adalah golongan wanita muda, ramping dan tinggi, berumur dalam lingkungan 13 – 28? Dan mengapa seruan pertama mereka kepada kamu adalah melucutkan tudung kamu?
Ingatlah baik-baik bahawa teman- andai kamu menganggapnya sedemikian- kerana demi Allaah, tiada keraguan lagi bahawa dia bisa menjadi musuh terbesar kamu di Hari Pembalasan kelak:
Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.Surah Zukhruf (43:67)
Seorang perempuan kafir menyatakan pandangannya terhadap wanita sebagai, “Ianya bukanlah tentang siapa dirimu, tetapi apa yang kamu pakai dan bagaimana rupa parasmu!” Dan dengarlah pandangan Fabian, seorang ‘model’ Perancis, komennya, “dunia fesyen menjadikanku boneka fesyen, sebuah patung kayu! Misinya adalah untuk memesongkan jiwa dan menjajah pemikiran. Aku belajar untuk menjadi seorang yang tiada bernilai, berjiwa kosong dan tidak berperasaan. Kami hidup di dalam dunia yang penuh kekotoran dengan unsur-unsur yang kotor.”
Ketika Rasool Allaah, sal Allaahu ‘alayhi wa sallaam, berdiri di banjaran Arafah dan menyampaikan ucapan selamat tinggal, baginda berkata kepada ummah, “Layanilah wanita dengan sebaik mungkin!” Sementara sejarah mencatatkan bahawa di Eropah, pada tahun yang sama Islaam mengetengahkan didikan ini, pendakyah Kristian berdebat sama ada wanita adalah manusia atau binatang. Golongan pendakyah ini merupakan nenek moyang golongan kafir yang mahu membebaskan kamu sekarang.
Terdapat banyak lagi yang bisa dibicarakan. Saya akhiri dengan nasihat daripada Rasool Allaah, sal Allaahu ‘alayhi wa sallaam, kepada setiap ibu, anak dan isteri Muslimah, bahawa: “Jika seorang wanita memelihara solat lima waktunya, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara dirinya daripada zina dan mentaati suaminya, akan dikatakan kepadanya, ‘ dari mana-mana pintu yang kamu suka, masuklah ke dalam Jannah!” Saudari sekalian, itulah tempat yang kamu hendak tujui.
Wahai orang-orang yang beriman, sambutlah seruan Allaah dan Rasool apabila dia menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allaah membatasi di antara seseorang dan hatinya, dan hanya kepada-Nya kamu semua akan dikumpulkan. Surah Al-Anfal (8:24)
Allaah dan RasoolNya menyeru kamu kepada kehidupan hakiki. Wahai Muslimah, sahutlah!